DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
DI KUALA TERENGGANU
DALAM NEGERI TERENGGANU
Dalam Tuntutan Fasakh
SAMAN NO: 11300-014-0011-2011
ANTARA
RUHAIDA BINTI OTHMAN --- PLAINTIF
KP: 680713-11-5134
DENGAN
CHE NORA’ZAM BIN NOORDIN ---
DEFENDAN
KP: 660705-03-5101.
DI HADAPAN YANG
AMAT ARIF
DATO’ HAJI ISMAIL BIN YAHYA, DPMT., PJC., PJK.,
KETUA HAKIM SYARIE, BERTINDAK SEBAGAI
HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
NEGERI TERENGGANU
DI KUALA TERENGGANU.
PADA HARI AHAD 9 RAMADHAN
1433,
BERSAMAAN 29 JULAI
2012
Plaintif diwakili oleh Cik Asmayani Suhaida binti
Kamaruddin, dan Tuan Haji Mukhtar bin Abdullah, kedua-duanya daripada Tetuan
Zamani Mohammad & Co., yang beralamat di No. 1107-E, Tingkat 2 & 3, Jalan
Pejabat Off Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu.
Defendan diwakili oleh Encik Fazru Anuar bin Yusof, Cik
Ummu Abihah binti Mohd Roslan, dan Encik Wan Mohd Azziadi bin Wan Abd Jalil,
kesemuanya daripada Khairul Sofian Anuar & Co., yang beralamat di No.
235-B, Tingkat 2, Jalan Sultan Zainal
Abidin, 20000 Kuala Terengganu.
ATAS TUNTUTAN Plaintif, Tuntutan ini dipanggil untuk perbicaraan
di dalam Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu dalam kehadiran
Plaintif dan Defendan, MAKA PADA HARI INI YANG ARIF HAKIM TELAH MEMBUAT
PENGHAKIMAN SEPERTI BERIKUT :-
Tuntutan yang dibawa di hadapan saya ini ialah Plaintif menuntut supaya
akadnikah perkahwinannya dengan Defendan difasakhkan. Plaintif dalam kes ini
ialah Ruhaida
Binti Othman, KP: 680713-11-5134. Semasa kes ini
disebut Plaintif merupakan seorang guru dalam Gred DG32, bertugas di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga,
Kuala Terengganu. Plaintif mempunyai alamat penyampaian di Alamat:
No 91A Kampung Tok Ku,Chabang Tiga, 21000 Kuala Terengganu, iaitu rumah ibunya.Tuntutan ini telah didaftarkan pada 11 Julai 2011, dan disebut pada 26
Julai 2011. Perbicaraan ditetapkan bermula 15 Ogos 2011.
Manakala Defendan ialah, Che
Nora’zam Bin Noordin, KP: 660705-03-5101, merupakan seorang
guru dalam Gred
DG44. Pada masa Tuntutan ini difailkan Defendan bertugas di SMK Chendering,
Kuala Terengganu. Defendan pada masa ini tinggal dirumah perkahwinan; di 2734
Taman Desa MPKT, Chendering, Kuala Terengganu. Defendan sama sekali tidak
bersetuju dengan tuntutan Plaintif ini.
Sebelum saya menimbang Tuntutan ini, saya
mengambil kesempatan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Peguam
Syarie-Peguam Syarie daripada kedua-dua belah pihak kerana telah membantu
Mahkamah ini dalam pendengaran kes dan seterusnya membuat keputusan pada hari
ini.
Dalam menimbang Tuntutan Plaintif ini,
pertamanya Mahkamah melihat kepada isu adakah Mahkamah Tinggi Syariah
Terengganu mempunyai bidangkuasa mendengar dan memutuskan Tuntutan ini. Mengenai bidangkuasa Mahkamah
atau Hakim, Allah telah menjelaskan hukum berhubung dengannya, firman Allah;
Yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah menyuruh
kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh)
kamu menghukum dengan adil.
Sesungguhnya Allah dengan
(suruhan Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
Ayat 58 Surah An-Nisaa’
Bidangkuasa satu-satu Mahkamah sebenarnya
telah lama disentuh oleh perundangan Islam atau Hukum Syarak. Antaranya sebagaimana dinyatakan oleh
Muhammad Salam Madkur di dalam kitabnya berjudul Al-Qada’ fil Islam, terbitan
Matbaah Al ‘Aalamiyah, Kaherah, 1964, yang mana pada muka 54 beliau menyebut ;
هو أن يخصص
ولي الأمر القاضى عند تقليده القضاء
أو بعد ذلك بنوع معين
من القضايا، كالأحوال
الشخصية، أو المدنى،
أو التجارى، أو الجنائى
إلى غير ذلك،
فلا يصح له
أن ينظر فى
نوع اّخر غيره
Yang bererti ;
‘Bidangkuasa
mengikut jenis kes ialah pemerintah mengkhususkan bidangkuasa ke atas seseorang
Hakim semasa perlantikan Hakim itu atau selepas perlantikan dibuat dengan
menentukan bahawa Hakim itu mempunyai bidangkuasa tertentu sahaja seperti
diberi bidangkuasa bagi mengendalikan undang-undang diri, undang-undang sivil,
undang-undang perdagangan atau bagi undang-undang jenayah dan seumpamanya; oleh
yang demikian Hakim itu hanya berbidangkuasa bagi kes-kes yang dianya diberi
bidangkuasa sahaja dan Hakim itu tidak boleh melaksanakan bidangkuasa lain yang
tidak diberi kepadanya.’
Apabila khalifah melantik seseorang Hakim untuk satu-satu
daerah bagi menghakimi penduduknya dalam semua jenis pertikaian sama ada sivil
mau pun jenayah dalam semua waktu, maka Hakim yang sebegini lantikannya
mempunyai bidang kuasa umum. Apabila
khalifah melantik seseorang Hakim dengan beberapa ikatan tertentu dari
segi tempat atau masa atau jenis-jenis kes dan pertikaian atau jenis-jenis
orang yang bertikai, maka Hakim yang sebegini lantikannya mempunyai bidang
kuasa khas atau tertentu. Pembatasan kuasa Hakim yang dilantik dalam bentuk
tertentu sebegini dikenali di kalangan fuqaha dengan istilah (تخصيص
القضاء ) takhsis al-qadaa’.
Mengikut Hukum Syarak, sebagai mana
yang dijelaskan dalam kitab Nizaam al-Qada’ fi al-Shari’ah
al-Islamiyyah, oleh Dr. Abdul Karim Zaidan, Muassah al-Risalah, Beirut,
Lebanon, cetakan ketiga, 1418H/1997M, muka 39-40, mana-mana Hakim yang dilantik dengan
bidang kuasa al-taqlid al-khas hendaklah bergantung kepada kuasa تخصيص
القضاء (takhsis al-qadaa’) itu. Bidang kuasa takhsis al-qadaa’ Hakim-Hakim
Mahkamah Syariah Terengganu adalah menurut bidangkuasa tiap-tiap Mahkamah yang
diperuntukkan di dalam Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
Subseksyen 11(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu)
2001 telah memperuntukkan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Ianya
diperuntukkan seperti berikut;
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah -
(a) dalam
bidangkuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh
seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau mana-mana
undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan
kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan
apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan
(b) dalam
bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika
semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan
atau prosiding itu adalah berhubungan dengan -
(i)
pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian,
pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau
apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;
(ii) apa-apa
pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara
yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
(iii)
nafkah orang-orang tanggungan,
kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;
(iv) pembahagian
atau tuntutan harta sepencarian;
(v)
wasiat atau alang semasa
marad-al-maut;
(vi) alang semasa
hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang
atau nilaian wang, oleh seorang orang Islam;
(vii) wakaf atau
nazar;
(viii) pembahagian
atau pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat ;
(ix) penentuan
orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang
beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu
berhak;
(x)
pengisytiharan bahawa seseorang itu
bukan lagi orang Islam;
(xi) pengisytiharan
bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada
masa kematiannya ; dan
(xii) perkara-perkara
lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana
undang-undang bertulis.
Manakala bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah pula ada diperuntukkan
dalam para 12(2)(b) Enakmen Mahkamah
Syariah (Terengganu) 2001. Peruntukannya adalah seperti berikut :-
12(2) Mahkamah Rendah Syariah
hendaklah ---
(a) ...
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan
memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi
kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang
dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat
dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta
sepencarian).
Peruntukan undang-undang menjelaskan bahawa tuntutan fasakh dinamakan juga
sebagai tuntutan pembubaran perkahwinan. Oleh yang demikian,
berdasarkan Hukum Syarak dan undang-undang, saya
berpuashati bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu mempunyai bidang
kuasa untuk mendengar dan memutuskan Tuntutan ini.
Selain dari itu, semasa mendaftarkan
Tuntutan ini, Plaintif juga ada memasukkan Permohonan Perintah Interim secara
ex parte. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001
memperuntukkan Perintah Interim terpakai hanya bagi Mahkamah Tinggi Syariah
sahaja. Seksyen 196 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001,
memperuntukkan;
Bab ini [BAB 2 – PERINTAH
INTERIM] terpakai hanya bagi Mahkamah Tinggi Syariah.
Pada
12 Julai 2011, Mahkamah ini telah mendengar Permohonan Perintah Interim
secara ex parte daripada Plaintif yang
bertindak sebagai Pemohon, dan seterusnya telah membuat Perintah Interim
secara ex parte. Oleh yang demikian
sangat sesuai kes ini terus dibawa ke dalam Mahkamah Tinggi Syariah bagi
memaklumkan Hakim Bicara bahawa telah ada perintah sampingan dalam pengendalian
Tuntutan ini antaranya melalui Perintah Interim secara ex parte.
Encik Fazru Anuar bin Yusof
yang mewakili Defendan telah menimbulkan persoalan
bahawa kes ini patut dimulakan di Mahkamah Rendah Syariah. Antara alasan yang
dikemukakan ialah jika kes ini didengar dan di peringkat Mahkamah Rendah
Syariah akan memberi peluang untuk kes ini didengar dalam tiga peringkat
Mahkamah. Sedangkan jika kes ini terus dibawa ke dalam Mahkamah Tinggi Syariah,
peluang untuk dapat perkhidmatan rayuan hanya sekali sahaja iaiatu di Mahkamah
Rayuan Syariah sahaja. Atas isu ini dan beberapa isu lain, Defendan melalui Peguam
Syarienya telah membuat Bantahan Awal ke Dalam Mahkamah Tinggi Syariah. Pada
hari Isnin 21 Syawwal 1432, bersamaan 19 September 2011 Mahkamah Tinggi Syariah
ini telah menolak bantahan awal dan perintah-perintah lain Defendan.
Terkilan dengan penolakan bantahan awal dan
perintah-perintah lain itu, Defendan telah membuat rayuan ke dalam Mahkamah
Rayuan Syariah Negeri Terengganu. Setelah mendengar rayuan daripada Defendan,
maka pada hari Selasa 6 Rabiul Akhir 1433 bersamaan 28 Februari 2012, Mahkamah
Rayuan Syariah Negeri Terengganu telah membuat perintah seperti berikut;
Mahkamah secara sebulat suara dengan ini menolak Rayuan
Perayu dan Mahkamah memerintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu untuk
terus mendengar Tuntutan Fasakh 11300-014-0011-2011 sehingga selesai.
Menurut peruntukan Hukum Syarak, undang-undang dan perintah Mahkamah Rayuan
Syariah Negeri Terengganu sebagai mana yang dinyatakan di atas, sekali lagi saya
tegaskan saya berpuashati bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu ini
mempunyai takhsis al-qadaa’ dalam mendengar dan memutuskan Tuntutan Fasakh (11300-014-0011-2011) ini.
Akadnikah perkahwinan yang Plaintif tuntut supaya difasakhkan ialah
akadnikah antara Plaintif dengan Defendan yang telah diadakan pada jam pukul 2.20
petang 18 Zulkaedah 1411, bersamaan 31
Mei 1991, bertempat di 91-A, Kampung Tok Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Akadnikah perkahwinan Plaintif dan Defendan itu berwalikan saudara lelaki seibu
sebapa kepada Plaintif bernama Nazmi bin Othman, KP:A0090568 dan dengan
maskahwin sebanyak RM85 tunai. Ianya didaftarkan dengan Bilangan 126/91 Chabang
Tiga, Kuala Terengganu.
Mengenai hidup berumah tangga, Allah swt telah dengan terang menjelaskan
bahawa prasyarat untuk lahirnya perasaan kasih sayang dan belas kasihan antara
suami isteri yang akan dikurniakan Allah ialah suasana ikatan suami isteri
berkenaan itu mestilah sentiasa ‘bersenang hati’ dalam situasi kehidupan yang
penuh mesra. Menjelaskan hal keadaan sedemikian, Allah telah berfirman;
Yang bermaksud;
‘Dan di antara tanda-tanda
yang membuktikan kekuasaan Nya dan rahmat Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu
(wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu
bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang
berfikir.’
Ayat 21 dari Surah Al-Rom
Dari ayat 21 Surah Al-Rom itu dapat dikatakan
bahawa tujuan mendirikan rumah tangga mengikut perundangan Islam ialah sebagai
memenuhi kehendak naluri tabie manusia, yang memerlukan perasaan berkasih
sayang, cinta mencintai, tolong menolong dan tidak ketinggalan ianya juga
bertujuan untuk memenuhi kehendak nafsu manusia agar dapat disalurkan dengan
cara yang halal dan menurut Hukum Syarak. Jika ianya dikendalikan dengan cara
sedemikian rupa, ikatan perkahwinan sedemikian insya Allah akan mendapat keredoan
Allah swt.
Sebaliknya jika sesebuah rumah tangga itu
dikendalikan secara tidak mengikut perundangan Islam sebagai mana dinyatakan di
atas, lazimnya akan timbullah beberapa masalah kepada rumah tangga berkenaan
itu. Antaranya yang boleh berlaku ialah tuntutan fasakh ke atas akadnikah itu. Menurut undang-undang tuntutan fasakh nikah dinamakan
juga sebagai tuntutan pembubaran perkahwinan. Mengikut tafsiran
berkanun sebagai mana peruntukan Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga
Islam (Terengganu) 1985, dalam seksyen 2,
‘fasakh’ ertinya pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan
yang diharuskan oleh Hukum Syara’ menurut seksyen 49.
Fasakh Nikah mengikut
Hukum Syarak disyariatkan adalah bertujuan untuk membendung mudarat (atau
darar) yang menimpa atas diri isteri. Saya berpendapat sekiranya suasana rumah tangga sesuatu pasangan suami isteri itu bukan lagi merupakan
tempat untuk ‘bersenang hati’ dalam situasi kehidupan yang penuh mesra, sudah
pasti perasaan kasih sayang dan belas kasihan antara suami isteri tidak akan
menjelma. Oleh itu jika suasana rumah tangga menjadi sedemikian rupa, ada
kemungkinan wujudnya kemudaratan yang akan menimpa atas diri isteri. Dalam kitab I’aanatut
Taalibin, karangan Al-Sayyed Al-Bakri Ibnu al-Sayyed Muhammad Shato’
al-Dimyaaty, juzuk keempat, terbitan Darul Fikr Littiba’ah wan Nashr wat
Tauzi’, tanpa tarikh, pada halaman 86 ada menyebut;
وَشُرِعَ أي الفسخُ
دَفْعًا لِضَرَرِ المرأَةِ
Yang berarti;
‘Fasakh nikah
disyariatkan bagi membendung mudarat (darar) yang akan menimpa atas diri
isteri.’
Seksyen 2, Enakmen
Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 juga memberi erti
kepada ‘darar syar’i’ sebagai, bahaya
yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, atau
hartabenda, menurut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara’.
Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami wa-Adillatuh, oleh Prof. Dr. Wahbah
Al-Zuhayli, juzuk kesembilan, cetakan keempat, Darul Fikr, Damsyek, Syria,
tahun 1418H/ 1997M, pada muka surat 7041 menyebut;
ويلاحظ أن التفريق يختلف عن الطلاق بأن الطلاق يقع
باختيار الزوج وإرادته، أما التفريق فيقع بحكم القاضي، لتمكين المرأة من إنهاء
الرابطة الزوجية جبرا عن الزوج، إذا لم تفلح الوسائل الاختيارية من طلاق أو خلع
Yang bererti;
‘Pembubaran perkahwinan adalah berbeza dengan talaq (cerai), ini kerana
cerai berlaku adalah dengan kehendak suami dan pilihannya sendiri, sedangkan
pembubaran perkahwinan berlaku mengikut keputusan Hakim. Tujuan pembubaran
perkahwinan ini adalah bagi membolehkan pihak isteri menamatkan ikatan
perkahwinan dengan suaminya, setelah semua cara lain yang menjadi pilihan
seperti cerai dan tebus talaq, tidak berjaya diperolehi.’
Dalam kitab yang sama pada muka surat 7040, pengarangnya menyenaraikan ada
sepuluh pembubaran perkahwinan, yang terdiri dari :-
1) Pembubaran perkahwinan kerana
kegagalan memberi nafkah;
2) Pembubaran perkahwinan kerana
ada kecacatan atau penyakit;
3) Pembubaran perkahwinan kerana
tidak sehaluan, deraan(mendatangkan
mudarat (darar)) dan
layanan buruk;
4) Talaq secara ta’assuf;
5) Pembubaran perkahwinan kerana
sebab ghaib;
6) Pembubaran perkahwinan kerana
ditahan;
7) Pembubaran perkahwinan kerana
berlaku ilaa’;
8) Pembubaran perkahwinan kerana
berlaku li’an;
9) Pembubaran perkahwinan kerana
berlaku zihar; dan
10) Pembubaran perkahwinan kerana murtad atau salah seorang dari suami
isteri itu memeluk Islam.
Dalam kes di hadapan saya ini, Plaintif menuntut fasakh (fasakh nikah)
kerana ikatan perkahwinan Plaintif dengan Defendan pada masa ini telah
mendatangkan mudarat (darar) kepada Plaintif. Plaintif mendakwa Defendan :-
1) Telah gagal dalam kewajiban bernafkah;
2) Telah melupuskan harta Plaintif;
3) Seorang yang panas baran dan
lazim menyakiti hati Plaintif; dan
4) Tiada persefahaman atau berlaku
darar dan berlawanan dengan
matlamat perkahwinan sebenar
antara mereka;
Dalam hujah melalui Peguam Syarienya Plaintif menyimpulkan bahawa rumah
tangganya dengan Defendan sampai ketika ini sudah tidak ada lagi sakinah dan
mawaddah. Hal keadaan sedemikian ditambah pula dengan sikap Defendan yang penuh
dengan ego sebagai mana ditunjukkan secara lantangnya mengeluarkan kata-kata,
‘pergi tak dihalau, balik tak disuruh,’ semasa menjawab persoalan mengenai
usaha yang telah dilakukan oleh Defendan untuk menjernihkan keadaan rumah
tangga mereka berdua.
Dalam hujah Defendan melalui Peguam Syarienya, Defendan memohon Tuntuan
Plaintif supaya difasakhkan akad nikah perkahwinan mereka ini ditolak dan
sebaliknya Plaintif perlu diisytiharkan sebagai isteri yang nusyuz.
Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami wa-Adillatuh, oleh Prof. Dr. Wahbah
Al-Zuhayli, juzuk kesembilan, cetakan keempat, Darul Fikr, Damsyek, Syria,
tahun 1418H/ 1997M, pada muka surat 7060 ketika menjelaskan Pembubaran
perkahwinan kerana tidak sehaluan, deraan (mendatangkan mudarat (darar)) dan
layanan buruk, ada menyebut;
الشقاق هو النزاع الشديد بسبب الطعن في الكرامة.
والضرر: هو إيذاء الزوج لزوجته بالقول أو بالفعل، كالشتم المقذع والتقبيح المخل
بالكرامة، والضرب المبرح، والحمل على فعل ما حرم الله، والإعراض والهجر من غير سبب
يبيحه، ونحوه
Yang bererti;
‘Maksud tidak sehaluan ialah pergaduhan yang teruk disebabkan batas
kemuliaan. Maksud deraan (mendatangkan mudarat (darar)) ialah siksaan suami ke atas
isteri dengan perkataan dan perbuatan. Umpamanya maki hamun, momokan yang
menghilangkan kemuliaan, pukulan yang mencederakan, memperlakukan dengan
perbuatan yang diharamkan Allah swt, memulau dan meninggalkan tanpa sebab yang
mengharuskan dan sebagainya.’
Subseksyen 49(1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam
(Terengganu) 1985 memperuntukkan alasan-alasan bagi membolehkan perintah untuk
membubarkan perkahwinan atau fasakh. Alasan-alasan mengikut undang-undang ini
pada pendapat saya telah memenuhi kehendak Hukum Syarak sebagai mana yang
disebut oleh Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhayli di atas tadi. Jika salah satu dari
alasan-alasan itu telah dipenuhi, membolehkan Mahkamah membubarkan perkahwinan
atau fasakh. Antaranya :-
(h) bahawa suami menganiayainya (isteri), iaitu
antara lain ---
(i) lazim
menyakitinya atau menjadikan kehidupannya
menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan
dengan perempuan-perempuan
jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara’; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
atau
(iv) melupuskan
harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di
sisi Hukum Syara’ terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri
dari menunai atau menjalankan
kewajipan agamanya; atau
(vi) jika
mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang
berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syara’;
Dalam kes Hairun bt. Mohd Sharif lawan Omar bin Mohd Noor, JH[1414] 289, dalam
penghakimannya, Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi, Pengerusi Jawatankuasa Rayuan
Selangor, antara lain menjelaskan;
Maka nyatalah bahawa perkara pokok di bawah seksyen
52(1)(h) [bersamaan dengan para 49(1)(h) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran
Keluarga Islam (Terengganu) 1985] ialah penganiayaan (cruelty) oleh suami
terhadap isteri dan sebagai contoh, enam (6) ilustrasi telah dinyatakan di
dalam perenggan kecil (i) hingga (vi). Contoh-contoh ini hendaklah dianggap
sebagai ‘antara lain’. Yang kedua, sungguh pun di bawah seksyen 52(1)(h)
penganiayaan terhadap isteri boleh berlaku di dalam dua bentuk, iaitu dalam
bentuk fizikal atau dalam bentuk mental, contoh penganiayaan bercorak memukul
secara fizikal tidak diberi oleh kerana aniaya amat nyata dengan sendirinya dan
mengikut Hukum Syara’ memukul isteri secara fizikal adalah satu penganiyaan
melainkan di dalam sesuatu keadaan tertentu. Kadang kala penganiayaan boleh
juga dilakukan di dalam kedua-dua bentuk.
Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan
negara-negara Islam termasuklah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan
Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip
ini.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip
pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana ‘aniaya’ atau dhirar ini tidaklah
disyaratkan penganiayaan atau dhirar terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih
luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri
atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan
kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan
seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itu dilakukan berulang kali dan
lazim. (Dr. Ahmad Al-Husary, Al-Ahwal Al-Shakhsiyyah, Maktabah Al-Kulliyat
Al-Azhariyyah, 1968, hal: 727, Mesir).
Di dalam Mahkamah, semasa peringkat soal balas, Defendan mengaku ada
menggadai rantai leher milikan isterinya (Plaintif) dengan harga RM3,000,
kira-kira lima belas tahun yang lalu. Rantai itu telah ditebus tetapi telah
digadai semula dan telah tidak ditebus balik. Manakala dalam keterangan utama
Plaintif, Plaintif menjelaskan bahawa rantai milik Plaintif itu, Plaintif beli
dengan wang Plaintif sendiri. Ianya telah digadai oleh Defendan. Rantai yang
dimaksudkan itu masih belum diserahkan oleh Defendan kepada Plaintif walhal
jika hendak dikira tarikh penebusannya telah lama berakhir.
Defendan juga mengaku, semasa peringkat soal balas, di dalam Mahkamah
bahawa kata-kata yang selalu dikeluarkan oleh Defendan yang ditujukan kepada
Plaintif ialah; ‘nnatang’ dan ‘tak ngeti basa’. Manakala dalam keterangan utama
Plaintif, Plaintif menjelaskan bahawa jika berlaku pertengkaran antara Plaintif
dengan Defendan, terkeluarlah daripada mulut Defendan ungkapan seperti, ‘menatang
bodoh’, ‘basa rumah macam neraka’, ‘jubur lembu’.
Mahkamah berpendapat, jika seseorang suami mahu menegur isterinya yang
telah membuat sesuatu kesalahan, teguran suami hendaklah mengikut ajaran Hukum
Syarak. Allah swt berfirman;
Yang bermaksud;
‘… dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan
perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka
berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih
degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian
jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk
menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha Besar.’
Mengeluar kata-kata kesat ke atas isteri bukan cara mengajar isteri menurut
Hukum Syarak. Jika diikuti ajaran al-Quran sebagai mana yang dibaca sebentar
tadi sudah pasti kehidupan berumah tangga akan mendapat hidayat Allah.
Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, saya dapati keterangan Defendan itu
telah menjadi iqrar di dalam kes ini. Iqrar mengikut Hukum Syarak
sebagaimana yang disebut oleh Abu Bakar ibni Muhammad Syatta’ dalam kitab I'aanah al-Taalibin, yang
mana selesai dikarang keseluruhannya pada 23 Syawal 1300, juzuk ketiga, muka
187 ada menyebut;
هو
لغة الإثبات وشرعا إخبار الشخص بحق
عليه ويسمى إعترافا
Yang bererti;
‘Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala mengikut
syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas diri pemberitahu itu. Iqrar disebut juga sebagai iktiraf.’
Mengenai
keterangan secara beriqrar ini, sukacita saya menjelaskan sedikit kedudukan iqrar
mengikut Hukum Syara’. Iqrar adalah merupakan salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam
hukum syara’. Tidak terdapat
perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli perundangan Islam (fuqaha’)
mengenainya. Ianya sabit berdasarkan nas Al-Quran dan Al-Sunnah. Antaranya firman Allah s.w.t. ;
sebahagian ayat 135 dari Surah An-Nisaa’
Yang bermaksud;
‘Wahai orang-orang
yang beriman ! Hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang
menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekali pun terhadap diri kamu sendiri,
atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu…’
Yang dimaksudkan dengan kesaksian ke atas diri kamu sendiri di dalam
ayat di atas itulah iqrar. As-Sheikh Shamsuddin
Muhammad bin Ahmad as-Syarbiniy al-Khatib, meninggal dunia dalam tahun 977
Hijriyah, di dalam kitabnya Mughnil Muhtaj, jilid kedua, pada muka surat 238
menyebut;
واركانه اربعة
مقر
ومقر له وصيغة ومقر به
Yang bererti;
“ Rukun iqrar itu ada empat perkara iaitu muqirrun
(orang yang melafazkan iqrar), muqarrunlahu (orang/pihak yang diberikan
iqrar untuknya oleh pembuat iqrar), sighah (ucapan atau kata-kata
iqrar), dan muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh
orang yang beriqrar).”
Seksyen 17
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 memperuntukkan;
(1)
Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh
seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan
terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.
(2)
Sesuatu iqrar
hendaklah dibuat -
(a)
di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
(b)
di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi
lelaki yang 'aqil, balih dan 'adil.
(3)
Sesuatu iqrar
yang berhubungan dengan apa-apa fakta persoalan atau fakta relevan ialah qarinah.
Iqrar
yang dibuat oleh Defendan ini, pada
pendapat saya hendaklah diterima, kerana tidak ada alasan yang membolehkan iqrar itu tidak boleh diterima. Iqrar
yang tidak boleh diterima mengikut Hukum Syarak telah pun ditaqnin di dalam
undang-undang. Ianya adalah sebagai mana
diperuntukkan di dalam seksyen 18 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah
(Terengganu) 2001. Seksyen 18 Enakmen Terengganu Bil. 6 Tahun 2001 itu memperuntukkan;
(1)
Iqrar yang berikut tidak boleh
diterima:
(a)
iqrar seseorang yang tidak ‘aqil baligh;
(b)tertakluk
kepada subseksyen (2), iqrar orang
belum dewasa;
(c)
iqrar
orang gila atau orang terencat akal (ma’tuh);
(d) iqrar wali atau penjaga yang dibuat
bagi pihak
seseorang yang
dibawah jagaan atau tanggungjawabnya;
(e) iqrar
yang tidak dibuat secara sukarela; atau
(f) iqrar
seseorang yang dihalang di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk
mentadbirkan hartanya (Mahjur ‘alaih)
(2) Iqrar
yang dibuat oleh seseorang orang belum dewasa yang mumayyiz yang telah dibenarkan oleh wali atau penjaganya untuk menjalankan apa-apa perniagaan atau
urusan boleh diterima setakat yang iqrar
itu adalah berhubungan dengan perniagaan atau urusan itu.
(3) Pihak yang mendapat faedah
daripada sesuatu iqrar tidaklah
semestinya seorang yang ‘aqil baligh.
Berkait dengan penerimaan iqrar, saya merujuk satu kes yang
telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Mahkamah Syariah Negeri
Sembilan. Dalam kes Mustafah bin Batcha lawan A. Habeeba JH [1412], 255,
Jawatankuasa Ulang Bicara Mahkamah Syariah Negeri Sembilan antara lain
berpendapat;
‘Walaupun iqrar merupakan salah satu cara pembuktian yang terkuat
dalam hukum syara’ tetapi sebelum iqrar tersebut diterima ianya hendaklah
dipastikan yang ianya dilakukan oleh orang yang berakal, baligh di dalam
kebanyakan kes, mumayiz, dilakukan secara sukarela, sedar, tanpa ugutan,
desakan dan paksaan, bersungguh-sungguh dan tiada tohmah dalam perkara yang
diiqrarkan. Dalam hubungan ini Mahmasani menyatakan bahawa iqrar hendaklah
dilakukan secara mutlaq tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara
lain. Jika ianya dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlaq sebahagian
ulama berpendapat bahawa iqrar tersebut tidak sah. (Subhi Al-Mahmasani,
Falsafah Al-Tasyrie’ Fi Al-Islam, Dar Al-Kasyaf, Beirut, tahun 1952, halaman
233).’
Di
dalam kes yang dirujuk ini, Kadi Yang Arif di Mahkamah Kadi Seremban, Negeri
Sembilan, telah memutuskan jatuh talaq tiga apabila suami telah beriqrar
melafazkan, “Saya cerai engkau, saya cerai engkau, saya cerai engkau,” kepada
isterinya. Yang Arif Kadi tidak memanggil saksi-saksi yang ada dan tidak
menyelidiki tuntutan suami itu bahawa pada ketika dia melafazkan talaq itu,
fikirannya tidak betul dan dia kena sihir. Terkilan dengan keputusan Yang Arif
Kadi si suami merayu ke Jawatankuasa Ulang Bicara Mahkamah Syariah Negeri
Sembilan.
Di
dalam kes ini “Keterangan” Plaintif ialah keterangan dakwaan Plaintif yang
dikuatkan dengan iqrar oleh Defendan. Ini kerana takrifan “keterangan” di dalam Enakmen Terengganu
Bil. 6 Tahun 2001 seperti mana disebut di atas itu, membedakan
antara bayyinah dengan syahadah, dan ianya tidaklah menolak jenis
keterangan yang lain yang diterima mengikut Hukum Syarak, seperti iqrar,
yamin (sumpah), nukul ‘an yamin (enggan bersumpah setelah diminta
bersumpah), al-yamin al-mardudah (sumpah yang dikembalikan kepada pihak
yang mendakwa setelah pihak yang kena dakwa enggan bersumpah) dan lain-lain
lagi kerana ianya hanya memperuntukkan “termasuk” yang mana memberi makna
banyak lagi jenis keterangan yang tidak disebut di dalam takrifan ini.
Peruntukan itu juga hanya menjelaskan dua cara memberi keterangan iaitu
keterangan lisan dan keterangan tulisan. Walau bagaimana pun dengan menggunakan
perkataan “termasuk” ianya bermaksud tidak menolak cara memberi keterangan
ketiga yang diterima mengikut Hukum Syarak iaitu isyarat.
Dengan penerimaan iqrar
Defendan itu, bermakna Plaintif telah mengemukakan keterangannya yang hendak
dibuktikan bahawa, Defendan telah melupuskan harta Plaintif. Defendan juga membuat momokan yang menghilangkan
kemuliaan Plaintif.
Perkahwinan dalam Islam antaranya bertujuan agar suami isteri sama-sama
merasa gembira dan seronok, yang mana nikmat perkahwinan ini dirasai bersama.
Suami isteri adalah dua insan yang dijadikan Allah swt untuk sama-sama
menikmati kehidupan berkeluarga. Allah swt telah berfirman;
sebahagian ayat 187 dari
Surah Al-Baqarah.
Yang bermaksud;
‘… isteri-isteri kamu
itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi
mereka…’
Mengikut tujuan-tujuan
perkahwinan dalam Islam, tidak ada sesiapa pun wajar untuk dipaksa hidup
menderita atau dianiyai di dalam ikatan perkahwinan yang dianya tidak suka.
Penganiayaan dalam apa bentuk sekali pun hendaklah dielakkan. Jika sesuatu
perkahwinan itu ternyata telah gagal dan tujuan suci dan matlamat murninya
tidak tercapai, sebaliknya ia menimbulkan mudarat, kesusahan, penderitaan,
berbahasa kasar, dan suami telah melupuskan harta isteri, maka adalah lebih baik akadnikah itu dibubarkan sama ada melalui talaq
termasuk ta’liq talaq, fasakh atau khulu’.
Oleh yang demikian atas alasan-alasan yang dikemukakan oleh Plaintif, yang
telah diperjelaskan oleh Mahkamah berpandukan Hukum Syarak dan peruntukan
undang-undang, saya berpuas hati bahawa Tuntutan Plaintif, Ruhaida Binti Othman, KP: 680713-11-5134 untuk memfasakhkan akadnikah
perkahwinan antara Plaintif dengan Defendan, Che Nora’zam Bin Noordin, KP:
660705-03-5101, hendaklah dibenarkan. Akad nikah yang dimaksudkan itu telah diadakan pada jam pukul 2.20 petang
18 Zulkaedah 1411, bersamaan 31 Mei 1991, bertempat di 91-A, Kampung Tok
Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Akadnikah perkahwinan Plaintif dan Defendan
itu berwalikan saudara lelaki seibu sebapa kepada Plaintif bernama Nazmi bin Othman,
KP:A0090568 dan dengan maskahwin sebanyak RM85 tunai. Ianya didaftarkan dengan
Bilangan 126/91 Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami wa-Adillatuh, oleh Prof. Dr. Wahbah
Al-Zuhayli, juzuk kesembilan, cetakan keempat, Darul Fikr, Damsyek, Syria,
tahun 1418H/ 1997M, pada muka surat 7067 ada menyebut :-
ويكون الطلاق بائنا؛ لأن كل فرقة يوقعها القاضي
تكون طلاقا بائنا إلا الفرقة بسبب الايلاء وعدم الإنفاق
Yang bererti;
‘Pembubaran perkahwinan (fasakh) ini dikira sebagai perceraian talaq ba-in
(tak boleh rujuk), kerana setiap perpisahan yang berlaku dengan hukuman qadi
adalah dikira talaq ba-in kecuali perpisahan dengan sebab illa’ dan dengan
sebab gagal memberi nafkah.’
Mahkamah telah mendapat kepastian daripada Plaintif bahawa Plaintif adalah
seorang isteri yang berhaid.
Oleh kerana saya berpendapat bahawa setakat
hari ini belum ada kemudaratan nyata yang timbul akibat dari berlakunya Tuntutan
daripada Plaintif ini, maka saya putuskan bahawa kos dalam prosiding Tuntutan
Fasakh ini hendaklah ditanggung oleh masing-masing pihak.
PERINTAH
1) SAYA FASAKH AKAN akadnikah
perkahwinan Plaintif, Ruhaida Binti Othman, KP: 680713-11-5134 dengan Defendan, Che Nora’zam Bin Noordin, KP:
660705-03-5101, yang mana akad nikah perkahwinan itu telah diadakan
pada pada jam pukul 2.20 petang 18
Zulkaedah 1411, bersamaan 31 Mei 1991, bertempat di 91-A, Kampung Tok Ku,
Chabang Tiga, Kuala Terengganu, berwalikan saudara lelaki seibu sebapa kepada
Plaintif bernama Nazmi bin Othman, KP:A0090568 dan dengan maskahwin sebanyak RM85
tunai, dan yang telah didaftarkan dengan Bilangan 126/91 Chabang Tiga, Kuala
Terengganu;
2) SAYA SABIT Plaintif, Ruhaida Binti Othman, adalah seorang perempuan yang masih berhaid dan sepanjang perkahwinan
Plaintif dengan Defendan telah ada berlakunya persetubuhan, DAN pada tarikh
berlakunya fasakh ini, Plaintif berkeadaan suci yang tidak disetubuhi; OLEH ITU
SAYA PERINTAH Ruhaida Binti Othman, Plaintif, hendaklah
ber`iddah dengan `iddah suci selama tiga kali suci dalam ba-in sughra
mulai tarikh disabitkan berlakunya fasakh iaitu pada hari ini, Ahad, 9 Ramadhan 1433 bersamaan 29 Julai
2012;
3) SAYA
PERINTAH Surat Perakuan Nikah, No: 23547 yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar
Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam, Mukim Chabang Tiga, Kuala
Terengganu, Terengganu, dengan Daftar Bilangan: 126/91, hendaklah diserahkan ke
dalam Mahkamah ini untuk proses pembatalan;
4) SAYA
PERINTAH Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam Negeri
Terengganu, DAN Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam, Daerah
Kuala Terengganu, hendaklah membuat pembatalan ke atas akadnikah perkahwinan Plaintif, Ruhaida Binti Othman, KP: 680713-11-5134 dengan Defendan, Che Nora’zam Bin Noordin, KP:
660705-03-5101, DAN Surat Perakuan Nikah No: 23547 yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar
Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam, Mukim Chabang Tiga, Kuala
Terengganu, Terengganu, dengan Daftar Bilangan: 126/91, menurut di bawah
peruntukan seksyen 51 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam,
Terengganu, 1985;
5) SAYA SABIT alamat penyampaian pihak-pihak adalah
seperti berikut:-
(i)
Ruhaida Binti Othman,
KP: 680713-11-5134,
No 91A Kampung Tok Ku,
Chabang Tiga, 21000 Kuala Terengganu,
Terengganu; dan
(ii) Che Nora’zam Bin Noordin,
KP: 660705-03-5101,
2734 Taman Desa MPKT,
Chendering, Kuala Terengganu,
Terengganu;
6) SAYA PERINTAH kos dalam prosiding ini hendaklah ditanggung oleh masing-masing
pihak;
7) SAYA
PERINTAH bahawa Perintah Interim Secara Ex Parte yang telah dikeluarkan oleh
Mahkamah ini pada Selasa, 10
Syaaban 1432, bersamaan 12 Julai 2011, melalui Permohonan No: 11300-038-0010-2011; iaitu
butiran (1) dan butiran (4) sahaja, adalah dimansukhkan. Butiran (1) dan
butiran (4) itu berbunyi :-
1) SAYA perintah Ruhaida binti Othman, KP:680713-11-5134,
Pemohon, hendaklah tinggal berasingan (iftiraq) buat sementara waktu dengan Che
Nora’zam bin Noordin, KP:660705-03-5101,Responden, sehingga ada perintah lain
dibuat oleh Mahkamah ini; dan
4)
SAYA perintah Che Nora’zam bin Noordin atau mana-mana warisnya atau
agen-agennya menahan diri dari mengganggui atau mencerobohi dengan apa-apa cara
sekali pun ke atas Pemohon dan anak-anak berkenaan; DAN
8) SAYA MEMBERI KEBENARAN KEPADA pihak-pihak untuk
membuat lain-lain tuntutan berbangkit dari sabitan fasakh ini melalui lain-lain
prosiding.
DI BERI DI BAWAH TANDATANGAN saya dan Meterai Mahkamah Tinggi
Syariah Negeri Terengganu pada hari ini, Ahad, 9 Ramadhan 1433, bersamaan 29 Julai 2012.