Tuesday, March 6, 2012

HAK ANDA DALAM HARTA SEPENCARIAN




 Pengertian Harta Sepencarian

Sebagai permulaan Penulis ingin membincangkan berhubung dengan pengertian Harta Sepencaian yang ramai dari kalangan kita tidak jelas berhubung dengan bab-bab ini. Ia adalah hak yang boleh dituntut oleh suami dan isteri setelah berlakunya perceraian di Mahkamah Syariah. Kegagalan memahami konsep harta sepencarian ini juga boleh menimbulkan pelbagai perselisihan faham antara ummat Islam.
  
      HARTA SEPENCARIAN

(i)           Dari segi Undang-undang

Mengikut tafsiran dalam seksyen 2(1) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 menjelaskan –

“ Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang berlainan;
Harta : Ertinya semua harta alih dan harta tak alih termasuk wang, kepentingan, asset dan hak-hak kepunyaan yang lain.”

(ii)         Dari segi Hukum Adat, walaupun tidak ada perkataan harta sepencarian dalam hukum syarak secara nyata, namun ianya adalah merupakan adat melayu yang telah diterima dan mendatangkan kebaikan terutamanya kepada kaum wanita. Di dalam Islam apabila sesuatu adat atau uruf diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai dapat, akan tetapi ianya bertukar menjadi suatu peraturan atau undang-undang Islam yang dibuat oleh pemerintah berdasarkan kepada maslahah yang mesti diikuti dan dikuatkuasa al-A’at Muhakkamah ertinya adat itu diakui dan diberi pengiktirafan undang-undang.

(iii)       Dari segi Hukum Syarak Firman Allah Taala

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

Yang bermaksud: “ Orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’: ayat 32)

Dan firman Allah:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قُرُوَءٍ وَلاَ يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُواْ إِصْلاَحًا وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكُيمٌ

Yang bermaksud: “ Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami dengan cara yang sepatutnya. (Dan tidak dilarang oleh syarak yakni sebagaimana seseorang isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, maka si suami juga menanggung kewajipan terhadap isterinya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik”).
(Surah Al-Baqarah ayat 228)


Adakah tuntutan Harta Sepencarian ini terdapat dalam Hukum Syara ? Mengenai persoalan ini, di dalam kitab al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Sya’iyyah, ibnu Qayyim al-Juziyyah, meninggal dunia dalam tahun 751 Hijrah, cetakan Dar al Ihya al-Ulum, Beirut, tanpa tarikh, pada muka 30 ada menyebut;

“Di antaranya ialah, di kalangan ahli perundangan Islam telah sepakat berpendapat bahawa di dalam kes tuntutan antara suami isteri yang sama-sama berusaha dalam mendapatkan harta rumah tangga dan berkedai tuntutan sedemikian hendaklah diterima berdasarkan keterangan yang membuktikan tuntutan itu.  Sebenarnya di dalam persoalan ini, pemilikan sesuatu harta itu tidak dikira hanya semata-mata berdasarkan nama yang tertera di dalam harta itu. Setakat nama yang tertera di dalam sesuatu harta itu belum tentu mebuktikan pemilikankannya. Kenyataan sebegini adalah kerana seandainya diambil kira hak milik sesuatu harta semata-mata mengikut nama yang tertera di dalam harta itu, maka nescaya serban yang dipakai di kepala seseorang yang merampas seban kepunyaan orang lain akan dikira sebagai serban kepunyaan perampas itu, sedangkan pengiktirafan yang sedemikian adalah sesuatu kezaliman dan tidak diambil kira.

Di dalam kitab al-Um, jilid kesepuluh, cetakan Dar al-Qutaibah, Beirut, Labenon, cetakan 1, 1996, muka 328 pula ada menyebut.

“Imam Syafie telah berkata, “Apakala berlaku pertelingkahan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan terhadap mata benda atau perkakas rumah yang mana kedua mereka mendiami rumah berkenaan, kerana mereka berpisah (bercerai); atau kedua suami isteri itu meninggal dunia; atau salah seorang daripada mereka berdua meninggal dunia; yang mana dalam keadaan kedua suami isteri itu meninggal dunia, berlaku pertelingkahan di antara waris kepada kedua-dua pihak atau pertelingkahan oleh waris kepada salah satu dari kedua pihak itu; maka kedudukan cara penyelesaian semuanya adalah serupa …”

Di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin, oleh Sayyid Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussain bin Umar, muka 159 juga ada menyebut;

“Telah bercampur harta suami isteri dan tidak diketahui harta siapa yang lebih banyak – tidak ada tanda-tanda yang dapat membezakan harta salah seorangnya – kemudian berlaku perpisahan antara keduanya ataupun mati, maka tidak sah seorang dari mereka (suami isteri ) atau warisnya memerintah (mengguna sesuatu daripada harta itu sebelum dapat dibezakan ataupun sebelum adanya persetujuan antara pihak-pihak (al-Sulh), kecuali bersama-sama dengan pemiliknya oleh kerana tidak ada murajjih (tanda yang membezakan di antara harta-harta berkenaan).”

 Di dalam kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi, JH [1401H] 63, Yang Arif  Hakim Tuan Haji Harussani bin Hj Zakaria, Kadi Besar Negeri Pulau Pinang pada masa itu, antara lain telah berpendapat;

“Harta sepencarian diluluskan oleh syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumah tangga suami keluar mencari nafkah. Isteri, menurut syarak berhak mendapat orang gaji dalam mengurus rumah tangga, jika tidak maka kerja memasak, membasuh dan menguruskan rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas dan kes-kes yang dikemukakan, jelaslah di sini bahawa pengertian bahawa pengertian dan konsep harta sepencarian adalah bersumberkan kepada Hukum Syarak. Konsep harta sepencarian ini telah dijelaskan lagi di dalam kes yang Chik binti Hashim lwn Abdul Jamal bin Abdul Rahim, JH [1409] 146. Di dalam kes ini Yang Arif Hakim Dato’Sheikh Ghazali bin Haji Abdul Rahman, pada masa itu Kadi Besar Mahkamah Kadi Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, antara lain berpendapat;

“Konsep harta sepencarian ialah harta yang diperolehi semasa dalam perkahwinan dengan masing-masing suami isteri sama-sama menyumbangkan tenaga atau wang ringgit untuk mendapatkan harta.”

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa tuntutan Harta Sepencarian ini dibolehkan di sisi syara’ demi untuk keadilan pihak-pihak di dalam suatu perkahwinan.

 Beban Pembuktian di Mahkamah Syariah

Beban pembuktian di dalam kes mal seperti kes di atas ini adalah terletak di atas Plaintif iaitu orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta. Plaintif dengan ini adalah seorang al-mudda’ii kerana Plaintif yang membuat tuntutan-tuntutan di atas. Manakala Defendan di dalam kes ini pula al-mudd’a’alaih iaitu orang yang menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta. Ini telah diperuntukkan di dalam  Seksyen 72 dan 73 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 ( dan/atau mana-mana peruntukan yang sama dengannya )

          Beban untuk mengemukakan keterangan dalam kes mal

72.     Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii) dan orang-orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-mudd’a’alaih)

          Beban membuktikan 

73.    (1)      sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
(2)      Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.

Di dalam sesetengah kes, Plaintif tidak dapat mengemukakan sebarang saksi untuk menyokong keterangannya melainkan melalui dokumen-dokumen sahaja. Keterangan secara dokumen adalah merupakan satu cara pembuktian di bawah prinsip qarinah di mana ianya boleh menyokong keterangan Plaintif. Prinsip qarinah antara lain disebut di dalam Al-Quran, surah Yusof ayat ke 18 sepertimana berikut:-

 وَجَآؤُوا عَلَى قَمِيصِهِ بِدَمٍ كَذِبٍ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ

Maksudnya:

“Dan bagi mengesahkan dakwaan itu, mereka pula melumurkan baju Yusof dengan darah palsu. Bapa mereka berkata, tidak. Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu sesuatu perkata (yang tidak diterima akal). Kalau demikian bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongannya mengenai apa yang mereka katakan itu.”

 Qarinah yang dapat dilihat di sini ialah di mana baju Nabi Yusof itu tidak koyak walaupun berlumuran darah sedangkan saudara-saudaranya mengatakan bahawa Yusof telah diserang oleh serigala. Oleh yang demikian, ternyata jelas sekali pembohongan yang dibuat oleh saudara-saudara Yusof itu yang dibuktikan melalui baju yang dipakai oleh Nabi Yusof itu.

Qarinah di dalam enakmen yang sama didefinisikan sebagai fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi dengan apa-apa cara yang disebut dalam enakmen ini. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya Fiqh al Islam wa Abdillatuh, Juzuk 6 muka surat 391 menyatakan bahawa Qarinah dari segi istilahnya bermakna tanda yang nyata atau zahir yang mengiringi sesuatu secara tersembunyi (khafi) dan ia menunjukkannya, manakala abu Karim Zaidan di dalam bukunya Nizam al-Qada’ fi al-Syariah al-Isamiyah menjelaskan bahawa qarinah ialah tanda-tanda atau alamat-alamat yang membuktikan kewujudan sesuatu. Oleh yang demikian jelaslah bahawa fakta-fakta yang dikemukakan oleh Plaintif melalui keterangan dokumen juga merupakan qarinah.

Surah Al-Baqarah :282 menunjukkan kepentingan keterangan secara dokumen sepertimana berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلاَ يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللّهَ رَبَّهُ وَلاَ يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لاَ يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُواْ شَهِيدَيْنِ من رِّجَالِكُمْ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاء أَن تَضِلَّ إْحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُواْ وَلاَ تَسْأَمُوْاْ أَن تَكْتُبُوْهُ صَغِيرًا أَو كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِندَ اللّهِ وَأَقْومُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلاَّ تَرْتَابُواْ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلاَّ تَكْتُبُوهَا وَأَشْهِدُوْاْ إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلاَ يُضَآرَّ كَاتِبٌ وَلاَ شَهِيدٌ وَإِن تَفْعَلُواْ فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayaranya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Oleh itu hendakah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas)………..”

Ini pula dikuatkan lagi berdasarkan hadith Rasulullah di mana Rasulullah s.a.w sendiri pernah menyuruh beberapa orang para sahabat menulis ayat-ayat al-Quran dan kemudiannya dibukukan di zaman Khalifah Uthman yang kini dikenali dengan nama Mashaf Uthmani dan peristiwa penulisan Piagam Madinah di zaman Rasulullah.
 
       Seksyen 57 EUPKIT 1985 antara lain menjelaskan bahawa sebarang aset/ harta samada Harta Alih ataupun Harta Tak Alih yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan (termasuklah juga apa jua aset / harta milik suami atau isteri sebekum perkahwinan tetapi dimajukan dalam tempoh perkahwinan tersebut) secara usahasama antara pihak suami dan isteri atau secara usaha sebelah pihak boleh dengan perintah Mahkamah  dan atas permohonan mana-mana pihak dibahagikan kadar setiap pihak antara mereka menurut takat sumbangan masing-masing.Antara perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pihak Mahkamah yang Mulia ini ialah takat sumbangan pihak-pihak samaada dalam bentuk wang, harta atau kerja yang dilakukan untuk memperolehi aset-aset itu.
 
   Sehubungan dengan itu, asas atau faktor terpenting di dalam pembahagiaan tuntutan Harta Sepancarian adalah sumbangan yang diberikan oleh pihak suami dan isteri. Apa yang ingin ditegaskan disini adalah bahawa kedua-dua Plaintif dan Defendan bersama-sama menyumbang ke atas pemerolehan harta alih dan tak alih yang menjadi subjek pertikaian di dalam kes ini. Sumbangan ini di buat samaada secara langsung dan tidak langsung.

       
   “Rasulullah s.w.t telah membuat hukuman diantara Ali bin Abi Talib r.a iaitu dipertanggungajawabkan ke atas Fatimah melaksanakan kerja-kerja dirumah manakala Ali pula diberi tanggungjawab bekerja dan berusaha diluar rumah .

Di dalam kes Rokiah bt Haji Abdul Jalil –Lwn- Mohamed Idris bin Samsudin (JH ) bersetuju dengan Yang Arif Kadhi Besar bahawa sumbangan isteri boleh diberi secara langsung dan tidak langsung .Yang Arif Kadhi Besar telah merujuk kepada Kitab Al- Majmu yang menerangkan sepertimana berikut:-

“Tidak wajib ke atas perempuan (isteri ) berkhidmat kepada suami pada membuat roti,menumbuk gandum, membasuh dan lain-lain lagi daripada berbagai-bagai khidmat kerana akad nikah ke atas suami bagi pihak perempuan tujuannya adalah bersuka-sukaan tidak wajib ke atas perempuan selain itu.

“….. ( kerana ditetapkan ) orang –orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan ,dan orang-orang perempuan pula ada pada bahagian dari apa yang mereka usahakan.


 Ini jelas digariskan di dalam Kitab Agung (Al-Quran):-

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

Yang bermaksud: “ Orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’: ayat 32)

Dan firman Allah:-

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قُرُوَءٍ وَلاَ يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُواْ إِصْلاَحًا وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكُيمٌ

Yang bermaksud: “ Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami dengan cara yang sepatutnya. (Dan tidak dilarang oleh syarak yakni sebagaimana seseorang isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik, maka si suami juga menanggung kewajipan terhadap isterinya yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik”).
(Surah Al-Baqarah ayat 228)

Di dalam kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi, JH [1401H] 63, Yang Arif Hakim Tuan Haji Harussani bin Hj Zakaria, Kadi Besar Negeri Pulau Pinang pada masa itu, antara lain telah berpendapat;

“Harta sepencarian diluluskan oleh syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumah tangga suami keluar mencari nafkah. Isteri, menurut syarak berhak mendapat orang gaji dalam mengurus rumah tangga, jika tidak maka kerja memasak, membasuh dan menguruskan rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian dari kerja yang mengurangkan tanggungan suami.

Di dalam kes Haminahbe –vs-  Samsudin (1979) 1 JH (2) di muka surat 71 yang mana Yang Arif Kadhi Besar telah menyatakan bahawa:

“Haminahbe bt Hasan sepanjang perkahwinan dengan Samsudin bin Hasin telah berlaku sebagai isteri dan telah membuat kerja-kerja yang lazim dilakukan oleh seorang isteri dengan sepenuhnya tanpa mendapat pertolongan dari orang gaji, maka itu segala penghasilan sepanjang hidup perkongsian bolehlah dianggap hasil bersama. Kerja-kerja yang dilakukan oleh seorang isteri yang tidak dibantu oleh orang gaji sekurang-kurangnya telah meringankan telah meringankan beban si suami setidak-tidaknya sepertiga dari tanggungannya.”

Syed Sabiq di dalam kitab Fiqh as-Sunnah Jilid Kedua halaman 17 menyebut bermaksud:-

“Rasulullah s.a.w telah membuat hukuman di antara Ali bin Abi Talib r.a dan isterinya Fatimah r.a iaitu dipertanggungjawabkan ke atas Fatimah mlaksanakan kerja-kerja di rumah manakala Ali pula diberi tanggungjawab bekerja dan berusaha di luar rumah”

Tambahan pula Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa’:32:-

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

Yang bermaksud: “ Orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’: ayat 32)


Di dalam Surah Al-Maidah : 1 Allah taala telah berfirman sepertimana berikut :-
" Penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian...."

Rasullullah S.A.W. juga pernah bersabda :-

" Umat Islam adalah terikat dengan syarat-syarat yang mereka buat "
" Sesungguhnya orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik menjelaskan hutangnya "

   Menurut peruntukan seksyen 57 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985 ( dan/atau mana-mana peruntukan yang sama dengannya ) yang menyatakan bahawa:-

(1) Mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana asset itu dijual dan hasil jualaan itu dibahagi antara pihak-pihak.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—

(a)  takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi asset-aset itu;
(b)  apa-apa hutang yang berhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c)  keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah mirip kepada membuat pembahagian yang sama banyak.


KESIMPULAN

 Kadar pembahagian harta sepencarian hendaklah mengikut kadar sumbangan oleh setiap pihak dalam pemerolehan asset tersebut dari awal ianya diperolehi semasa dalam tempoh perkahwinan hinggalah ke hari berlakunya perceraian. Kadar pembahagian adalah adalah berbeza-beza mengikut fakta kes masing - masing . Kadar harta sepencarian adalah 1/2 , 1/3 , 1/4 dan 1/6 dan ianya bergantung kepada usaha / sumbangan yang telah dikeluarkan oleh pihak masing-masing dari awal perkahwinan sehingga ke tarikh perceraian berlaku. Oleh yang demikian, syarak dan undang-undang syariah mengiktiraf harta sepencarian yang diperolehi oleh suami isteri semasa di dalam tempoh perkahwinan dan ianya hendaklah dibahagikan seadil-adilnya antara kedua-dua pihak.


Ini jelas di dalam firman Allah Taala (surah Al-Maidah :8):

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ
عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: 

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاء ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.
( Surah
An-nahl ayat 90)

2 comments:

  1. Perlukah sesuatu harta itu diletakkan nama suami dan isteri untuk menentukan bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian. contoh: sebidang tanah yg diletakkan nama suami sahaja waalupun isteri ada menyumbang wang dlm pembelian tanah tersebut.

    ReplyDelete
  2. Perlukah sesuatu harta itu diletakkan nama suami dan isteri untuk menentukan bahawa harta tersebut adalah harta sepencarian. contoh: sebidang tanah yg diletakkan nama suami sahaja waalupun isteri ada menyumbang wang dlm pembelian tanah tersebut.

    ReplyDelete